Berita

Subsidi RM1.74 juta diberi Kerajaan Negeri Sembilan kepada 44 bekas pekerja estet

LABU: Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya menyelesaikan permasalahan tempat kediaman bagi 44 bekas pekerja Ladang Kirby yang berlanjutan selama lebih 20 tahun tanpa sebarang penyelesaian di bawah pimpinan Kerajaan Negeri terdahulu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Menurut Aminuddin, setiap bekas pekerja estet tersebut ditawarkan pemilikan Rumah Mampu Milik (RMM) Type A yang akan dibina di Ladang Kirby kepada mereka yang layak.

“Pada mulanya mereka ditawarkan harga jualan bersubsidi bernilai RM45,000.

“Namun, setelah mengambil kira kemampuan setiap bekas pekerja estet tersebut yang dilihat memerlukan bantuan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menurunkan lagi harga jualan seunit rumah kepada RM36,000 sahaja kepada 36 bekas pekerja estet setelah mengambilkira pekerja yang mempunyai pasangan suami atau isteri,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk memberikan subsidi tambahan sewaan rumah sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 24 bulan atau sehingga projek RMM tersebut selesai bagi meringankan beban 13 keluarga bekas pekerja estet yang tidak mempunyai kediaman sementara untuk berpindah.

“Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap bekas pekerja estet Ladang Kirby adalah sebanyak RM1.74 juta.

“Projek ini akan menjadi satu lagi bukti komitmen Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk terus membela nasib rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik

“Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Negeri Sembilan kepada Kerajaan Negeri hari ini,” ujar Aminuddin.

Turut hadir Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB J.Arul Kumar.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button