Berita

Sumber kewangan YNS kukuh, pelajar Negeri Sembilan dapat manfaat

SEREMBAN: Sumber kewangan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) semakin kukuh dengan simpanan RM16 juta sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan pada 09 Mei 2018.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, berkat urus tadbir yang baik dan semangat pembaharuan yang didokong, YNS diyakini mampu terus menjana pendapatan dan keuntungan berganda melalui pelbagai aktivitinya termasuk pelaburan dan sumbangan derma.

“Negeri Roadstone Sdn Bhd menyumbang RM1 juta, Prop Development Sdn Bhd menyerahkan tujuh unit kedai yang akan disewakan oleh YNS untuk menjana pendapatan dan YNS Event Management Sdn Bhd serah dividen sebanyak RM50,000.

“Kesemua hasil ini akan dipulangkan semula kepada rakyat Negeri Sembilan dalam bentuk pembiayaan pendidikan serta pelbagai inisiatif bagi membantu anak-anak negeri terutamanya dari aspek pendidikan.

“Justeru itu, satu siri penyerahan sumbangan telah berlangsung yang mampu memperkukuhkan kewangan YNS dalam menjalankan fungsi utamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Sumbangan dan Mesyuarat Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Negeri Sembilan ke-160 di Pejabat Yayasan Negeri Sembilan.

Aminuddin berharap lebih ramai dermawan akan tampil untuk membuat sumbangan kepada YNS bagi memanfaatkan Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan.

“Untuk makluman, pada tahun ini YNS telah dibenarkan beroperasi di bawah seksyen tersebut yang membolehkan penyumbang yang menyalurkan sebarang bentuk sumbangan atau derma secara tunai boleh mendapat pengecualian cukai.

“Mewakili YNS saya mengucapkan terima kasih kepada para dermawan,” ujarnya.

Turut hadir, Pengarah YNS, Encik Nazri Kassim.

 

Show More

Related Articles

Back to top button