Berita

Takut Covid? Hindari tempat sesak, sempit dan sembang berdekatan

PH GEM tidak akan berdiam diri terutamanya semasa penularan wabak Covid-19

SEREMBAN: Langkah pencegahan awal dalam mengawal pandemik Covid-19 harus bermula dengan menghindari tempat yang sesak, tempat yang sempit dan elak dari sembang berdekatan.

Itu rumusan utama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Mawar, Dr.Ong Chiew Ping dalam forum online ‘Takut Covid?’ menerusi platform Zoom Meeting dan Facebook Live anjuran Power House Wanita Gemilang (PH GEM) pagi kelmarin.

“Kita perlu berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri dan persekitaran dengan mengamalkan langkah kerap membasuh tangan, menjaga penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka (face mask).

“Kita juga perlu menghindari 3S iaitu tempat yang sesak, tempat yang sempit dan sembang berdekatan,” ujar Ong.

Ong turut berkongsi maklumat berkaitan alat yang digunakan untuk buat ujian swab Covid-19. Beliau memberi penjelasan secara menyeluruh tentang penggunaan vitamin untuk menaikkan stamina, namun memberi peringatan terhadap kesan penggunaan vitamin yang melampau.

PH GEM akan terus perkasakan wanita

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon dalam ucapan perasmian berkata, pengetahuan dari pelbagai aspek diperlukan supaya ia dapat membantu orang ramai membuat keputusan yang bijak dan betul.

“PH GEM tidak akan berdiam diri terutamanya semasa penularan wabak sekarang kerana melalui pelbagai program, objektif untuk memperkasakan wanita boleh dicapai juga melalui platform lain.

“Tidak boleh menganjurkan aktiviti secara fizikal tidak bermakna semua kena tangguh dan saya berharap melalui program yang dianjurkan, semua dapat manfaat dan gunakan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran masing-masing,” ujarnya yang juga ADUN Bukit Kepayang.

Seramai 54 orang menyertai Zoom Meeting ini dan siaran langsung Facebook Live pula diikuti oleh 324 orang.

Turut menyertai forum ini ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong dan Penyelaras DUN Jeram Padang, Tuan Musliadi Sabtu. Moderator forum pula Pegawai Perubatan Bahagian Kes Kecemasan Hospital NSCMH, Dr.Sugitha Gracie.

 

Show More

Related Articles

Back to top button