Berita

Tampin Water Park dapat sambutan hangat

TAMPIN: Tampin Water Park atau dahulunya dikenali sebagai Kolam Renang Gunung Tampin adalah lokasi yang strategik dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini lokasi tersebut kurang dipromosikan dan tidak dijaga dengan sempurna yang menyebabkan pengunjung kurang berminat untuk ke kawasan ini.

“Menyedari potensi Tampin Water Park, Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Tampin telah melantik operator pada akhir tahun 2018.

“Kini, pelbagai transformasi telah dilaksanakan di kawasan tersebut dan para pengunjung semakin membanjiri taman ini,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian setelah merasmikan kemudahan Cabin Stay atau bangunan kabin yang mempunyai fasiliti lengkap untuk para pengunjung di Tampin Water Park.

“Dilengkapi dengan pendingin hawa, televisyen, bilik air serta ruangan tidur yang selesa, kabin ini berjaya menarik lebih ramai pengunjung ke Tampin Water Park.

“Pihak operator turut menyediakan lebih kurang 20 tapak perkhemahan yang boleh disewa para pengunjung.

“Saya difahamkan bahawa tapak serta kabin ini mendapat sambutan hangat dan sentiasa penuh pada hujung minggu,” kata Aminuddin lagi.

Mereka yang berminat untuk ke Tampin Water Park boleh melayari laman sesawang https://www.facebook.com/tampinwaterpark/ bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan taman ini.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button