Berita

Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah dijangka beroperasi semula

Waste to energy plant siap 98 peratus

SEREMBAN: Sistem insinerator ‘Waste-to-energy plant’ (WTE) di Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah, Port Dickson dijangka akan beroperasi pada pertengahan September ini.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, YB Teo Kok Seong berkata, WTE di tapak pelupusan sampah tersebut sudah siap 98 peratus.

“Syarikat yang menguruskan tapak pelupusan sampah ini memaklumkan bahawa sistem WTE ini akan siap dipasang pada Jumaat ini dan sistem ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan bulan ini.

“Sistem WTE ini merupakan yang pertama dan di Malaysia dan merupakan projek perintis Kerajaan Persekutuan.

“Kelewatan sistem ini beroperasi adalah disebabkan tenaga pakar tidak dapat dibawa masuk ke negara ketika tempoh PKP (Pandemik Covid-19) kerana sistem ini menggunakan teknologi Jepun, Korea Selatan dan Eropah,” jelas Teo.

Menurut Teo lagi, sebagai langkah kontigensi Kerajaan Negeri Sembilan telah berunding dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi menghantar sisa pepejal ke Tapak Pelupusan Sampah di Sepang.

“Pagi ini Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dan membenarkan sisa pepejal dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Sepang untuk sementara waktu sehingga Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah beroperasi semula.

“Selain itu sebagai alternatif, sisa pepejal juga boleh dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah di Kuala Pilah dan Jelebu,” kata Teo.

Operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang Tanah Merah dihentikan sementara sejak 29 Ogos lepas, berikutan kolam takungan sisa pepejal di situ pecah.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button