Berita

‘Tegaskan pendidikan asas bentuk sahsiah, tangani gejala sosial generasi muda’: Tuanku Muhriz

SERI MENANTI: DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala sosial dalam kalangan generasi muda yang dilihat semakin membimbangkan dan berpotensi menjejaskan masa depan individu, keharmonian keluarga serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

“Antara gejala yang perlu diberi perhatian serius termasuk penyalahgunaan dadah, kegiatan merempit dan pelbagai perlakuan negatif lain yang bukan sahaja memberi kesan buruk kepada golongan muda malah turut memberi implikasi jangka panjang kepada struktur sosial dan pembangunan negeri” ujarnya.

Menurut Baginda, pendidikan merupakan asas terpenting dalam membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak sejak daripada usia yang paling awal.

Sehubungan itu, Baginda menyambut baik pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di peringkat prasekolah yang menekankan pembentukan nilai-nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan orang lebih tua, menyayangi alam sekitar, sikap tolong-menolong serta semangat bekerjasama.

Baginda turut berharap agar modul tersebut dapat diteruskan dan diperluaskan ke peringkat sekolah rendah bagi memastikan kesinambungan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan anak-anak sekali gus memperkukuh nilai-nilai murni agar kekal menjadi pegangan hidup mereka sehingga dewasa.

“Dalam aspek pendidikan menengah pula, Beta menekankan kepentingan penglibatan pelajar dalam persatuan dan kelab di sekolah sebagai medan pembinaan jati diri, sahsiah dan kepimpinan.”tambahnya lagi.

Menurut Baginda, penyertaan dalam persatuan beruniform, aktiviti sukan dan kebajikan mampu membentuk disiplin, tanggungjawab sosial serta budaya keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Baginda turut menggariskan kepentingan memupuk semangat kebersamaan atau ‘spirit of togetherness’ dalam kalangan rakyat yang merentasi perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

Baginda bertitah, pendekatan pendidikan yang menyeluruh dan berteraskan nilai murni mampu melahirkan generasi masa hadapan yang saling memahami, menghormati dan bekerjasama demi keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, Baginda menegaskan bahawa usaha membentuk masyarakat masa hadapan hendaklah bermula sejak peringkat kanak-kanak lagi selaras dengan kepentingan pendidikan sebagai asas pembentukan insan.

Baginda bertitah demikian sempena Hari Keputeraan ke-78 DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Show More

Related Articles

Back to top button