Berita

Telegram Exco Negeri Sembilan digodam, nafi minta pinjam duit

SEREMBAN: Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, YB Dato’ Ir.Bakri Sawir menafikan dirinya meminta wang menerusi aplikasi Telegram sehingga ada individu yang mengalami kerugian berjumlah RM5,000.

Bakri berkata, Telegram miliknya digodam oleh individu tidak dikenali dan kenalannya dihubungi untuk meminjam wang.

“Saya menerima panggilan dan mesej daripada orang ramai yang bertanya saya mahu meminjam wang antara RM2,000 hingga RM3,000 menerusi mesej Telegram.

“Dua kenalan saya sudah menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab ini sehingga mereka mengalami kerugian berjumlah RM5,000,” katanya dalam sidang media di Wisma Negeri.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang meminta mana-mana individu yang menerima mesej atau panggilan melalui Telegram atas namanya supaya mengabaikannya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Bakri berkata, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Klawang pada 31 Julai lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin mengesahkan menerima laporan polis dibuat Bakri.

Show More

Related Articles

Back to top button