Tok Batin hargai pemberian geran Kampung Orang Asli
SEREMBAN: Tok Batin dan Ketua Kampung yang mewakili 69 buah kampung Orang Asli di Negeri Sembilan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di atas pemberian Geran Khas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kepada 69 buah kampung Orang Asli yang berdaftar dengan peruntukan berjumlah RM345,000.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Lerek, Gemencheh, Encik Zahri Suhadi berkata, beliau mewakili seluruh Tok Batin di Negeri Sembilan, mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Menteri Besar di atas pemberian geran ini.
“Geran ini sedikit sebanyak akan dapat membantu kami melaksanakan program di Kampung Orang Asli.
“Saya rasa ini adalah julung kali pemberian geran ini diberikan.
“Saya berharap pemberian geran ini diteruskan pada tahun hadapan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin,” ujarnya.
Pengerusi JPKKOA Kampung Belihoi, Mantin, Puan Minah Ujang turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan di atas pemberian geran ini.