BeritaMenarikProgram

Tuanku Muhriz bangga Belanjawan Tahun 2022 capai surplus RM31 juta

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sembilan di atas pencapaian mengubah Belanjawan Tahun 2022 daripada defisit RM88 juta kepada surplus RM31 juta.

“Beta telah melihat kesungguhan Kerajaan Beta memantapkan sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan untuk meningkatkan sosio ekonomi negeri ini.

“Ia dapat dilihat melalui momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin pulih khususnya pasca Covid-19, meliputi penglibatan masyarakat bandar dan luar bandar dalam pembangunan negeri di mana tidak ada golongan yang terpinggir.

“Alhamdulillah, Beta juga ingin menzahirkan kesyukuran atas usaha Kerajaan Negeri meningkatkan hasil negeri dan mengurus kewangan dengan penuh integriti.

“Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak telah membolehkan Kerajaan Beta berjaya melaksanakan kutipan hasil sebanyak RM521.22 juta, bersamaan 20.65 peratus melebihi sasaran untuk tahun lalu iaitu RM432 juta.

“Pencapaian ini sekaligus mengubah belanjawan Tahun 2022 daripada defisit RM88 juta kepada surplus RM31 juta,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button