BeritaProgram

Tuanku Muhriz bangga Kerajaan Negeri capai kutipan hasil 98 peratus

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melahirkan rasa bangga dengan komitmen Kerajaan Negeri yang berjaya memperolehi kutipan hasil sebanyak RM447.88 juta pada tahun 2020.

Baginda bertitah, pada tahun 2020 prestasi ekonomi bagi semua negeri telah mencatatkan pertumbuhan negatif. Namun begitu, Negeri Sembilan adalah antara lapan negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik, iaitu susut 3.6 peratus berbanding penyusutan 5.6 peratus di peringkat nasional.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada Kerajaan Beta kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM447.88 juta pada tahun 2020, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kerajaan Beta terus berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan, iaitu 98 peratus. Hal ini membuktikan bahawa sasaran yang ditetapkan adalah realistik dan boleh dicapai.

“Negeri Sembilan turut mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Per Kapita (RM43,859) melebihi paras nasional (RM43,378),” titah baginda.

Titah baginda, sungguh pun menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), strategi dan intervensi yang dilaksanakan serta komitmen semua agensi pemungut hasil, ternyata amat berkesan dan berjaya.

“Beta berharap agar segala perancangan untuk memajukan negeri dan memperkasa rakyat dapat terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan di Dewan ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan istiadat pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button