Usaha elak banjir kilat di DUN Ampangan
AMPANGAN: Usaha menyelenggara dengan melebarkan dan mendalamkan sungai serta membaikpulih dan menaiktaraf sistem perparitan di DUN Ampangan menunjukkan kesan positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, YB Dato’ Mohamad Rafie Ab Malek berkata, usahan yang dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan serta Majlis Bandaraya Seremban berjaya membendung berlakunya kejadian banjir kilat yang sebelum ini sering berlaku.
“Kampung Ismail, Taman Dusun Nyior, Kampung Baru Blok A, Kampung Baru Blok B, Kampung Baru Blok C dan Taman Lee Siew Joo sebelum ini sering dilanda banjir.
“Namun selepas langkah-langkah pencegahan awal ini diambil, kawasan perumahan ini tidak terkesan dengan kejadian banjir walaupun hujan lebat hampir setiap hari,” jelas Mohamad Rafie.
Mohamad Rafie berkata, pengawalan pembangunan di hulu sungai juga perlu diberi perhatian dengan memastikan setiap usaha pembangunan yang dibuat mesti mempunyai sistem mitigasi yang sempurna.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu sentiasa bersiap-siaga sekiranya berlaku sebarang kemungkinan banjir.
“Pasukan Ampangan Rescue Team yang ditubuhkan bersama agensi bantuan kerajaan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi bencana banjir,” ujar Mohamad Rafie.