Berita

Veerapan nasihat peneroka Gatco terima tawaran ‘prihatin’ Kerajaan Negeri

Peneroka Gatco kalah dalam kes tuntutan di mahkamah

Pada 16 Disember 2020, satu sidang media telah dianjurkan oleh Parti PSM. Saya telah mendengar sidang media tersebut. Saya ambil maklum bahawa parti PSM juga sedang cuba mengelirukan segolongan minoriti peserta Gatco.

Saya akan mengguna pakai kenyataan media sebelum ini bertarikh 15 Disember 2020, berkaitan dengan isu tanah Gatco sebagai jawapan kepada sidang media tersebut.

Peserta Gatco minoriti ini bertindak atas nasihat guaman yang kurang bijak dan telah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendakwa bahawa terdapat klausa 8(a) dalam perjanjian yang bertarikh 02 Disember 2004  di mana pihak Tamarai Holding memberikan opysen pertama untuk membeli kepada peneroka-peneroka daripada Tamarai Holding.

Pilihan untuk membeli tersebut tamat kerana peneroka-peneroka tidak memilih pilihan untuk membeli dan pada 22 Februari 2012, Pelikudasi Gatco telah melepaskan syarat ini atas alasan wakil Jawatankuasa 1 iaitu Mariayee yang mewakili peneroka-peneroka pada masa itu telah cuba menghalang penjualan pajakan. Kes tersebut telah difailkan di Mahkamah dan telah dilupuskan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan mereka telah kalah kes tersebut pada masa tersebut. Kes Mahkamah ini dibawa oleh Jawatankuasa Pertama.

Seterusnya, saya ingin merujuk kepada perintah mahkamah bertarikh 17 Oktober 2016 melalui guaman sibil No:22NCVC-1484-12/2012 yang dibawa oleh Kumpulan kedua melalui jawatankuasa kedua diketuai oleh John.

Mereka telah memfailkan suatu tindakan terhadap Tamarai Holding dan Pelikudasi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut hak mereka. Tamarai Holding telah memfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman tersebut dan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut telah membenarkan permohonan Tamarai Holding tersebut.

Kemudian, pihak perserta peneroka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rayuan telah membenarkan Rayuan mereka. Seterusnya, pihak Tamarai Holding pula memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Di mana permohonan kebenaran merayu dibenarkan pada masa itu. Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan itu dan perintahkan kes tersebut dibicarakan penuh di Mahkamah Tinggi semula.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kes tersebut telah dibicarakan dan akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan dan memerintahkan bahawa peserta Gatco tidak mempunyai hak atau kepentingan ke atas tanah tersebut dan Mahkamah juga memerintahkan bahawa peserta-peserta Gatco adalah dilarang daripada menceroboh masuk ke hartanah tersebut. Mahkamah juga memerintahkan supaya peserta-peserta Gatco dikehendaki membayar gantirugi dan lain-lain perintah adalah seperti dalam perintah Mahkamah tersebut. Sila lihat lampiran ‘A”’.

Seterusnya, Mahkamah Rayuan juga telah menolak rayuan pihak minoriti peserta Gatco tersebut kerana Notis Usul adalah cacat. Maka, berakhir lah kes mereka ini di Mahkamah dan pada asasnya mereka kehilangan semua hak mereka ke atas tanah tersebut.

Tuntutan lapan ekar tanah tiada asas dalam undang-undang

Tindakan kini untuk mendesak Kerajaan Negeri untuk memberikan lapan ekar atau lebih adalah tidak wajar, tiada asas dalam undang-undang dan adalah melampaui batas. Kerajaan Negeri cuma atas dasar prihatin menawarkan empat ekar dan dua ekar. Saya menyeru kepada golongan minoriti ini untuk berfikir secara rasional dan seterusnya menerima tawaran Kerajaan Negeri.

Saya juga tegaskan bahawa prinsip rukun negara yang ketiga dan keempat iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Jadi, sebagai rakyat Malaysia kita harus menyantuninya. Justeru itu, kita harus menghormati Mahkamah dan akur kepada perintah tersebut. Mempertikaikan atau tidak akur kepada perintah Mahkamah adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kuasa Mahkamah. Malah, Kerajaan Negeri adalah terikat dengan perintah mahkamah tersebut.

Sekiranya, ada parti politik hendak tegakkan benang yang basah maka Kerajaan Negeri bukan satu pihak dalamnya. Saya minta mereka yang sedang mengelirukan minoriti peserta Gatco supaya menasihatkan peserta Gatco yang telah ke Mahkamah untuk terima tawaran dari Kerajaan Negeri dan jangan sesekali memberikan harapan palsu kepada mereka. Ini adalah suatu peluang untuk bertaubat bagi parti politik yang berkenaan dan yang sedang mengelirukan rakyat Malaysia.

Saya hairan masih ada pemimpin parti politik yang membuang masa dengan memberikan harapan palsu kepada perserta Gatco tersebut. Malah, sidang media yang diadakan menunjukkan bahawa mereka ini seolah-olah diperkudakan untuk agenda politik mereka. Saya kesian dengan peserta Gatco yang masih ikut rentak mereka dengan membuat sidang media dan sebagainya.

Saya percaya ada pihak yang menggunakan mereka ini untuk mencari publisiti murahan. Apa yang istimewa bagi penerima empat ekar dan dua ekar dalam Fasa 1 dan 2?

Kalau kita perhatikan penghakiman Mahkamah tersebut; Mahkamah telah pun memerintahkan bahawa peserta yang ke Mahkamah tidak ada hak ke atas tanah tersebut.

Kerajaan Negeri terikat dengan perintah mahkamah

Tambahan pula, Kerajaan Negeri terikat dengan perintah Mahkamah tersebut dan keluasan tanah yang ada iaitu 1,206 ekar. Tanah tersebut harus lah diagihkan secara adil dan saksama kepada semua peserta Gatco. Dalam sidang media tersebut peserta yang ke Mahkamah mendesak kerajaan semasa (government of the day) menggunakan kuasa untuk merampas tanah dari pihak ketiga yang dibeli melalui tender/lelongan awam.

Adakah ini suatu tindakan yang sah di sisi undang-undang? Sekiranya ianya dilakukan maka ia merupakan suatu pencabulan ke atas hak asasi rakyat biasa untuk memiliki hartanah dan akan berlaku kekecohan dalam perundangan yang melibatkan semua transaksi tanah dan transaksi komersial.

Saya juga menasihatkan penganjur media tersebut bahawa Kerajaan Negeri hanya boleh membuat pengambilan tanah dengan menggunakan Kanun Tanah Negara sekiranya untuk kepentingan awam seperti untuk sekolah, jalan dan sebagainya tetapi bukan untuk kepentingan individu atau peserta.

Saya minta PSM jangan pandai-pandai menafsirkan undang-undang untuk kehendak mereka. Dapatkan nasihat dari pakar undang-undang sebelum memberikan kenyataan.

Saya juga ingin menambah bahawa peserta-peserta yang menerima empat ekar dan dua ekar ini adalah peserta dari kawasan yang sama. Mereka yang terima tawaran ini boleh menyara hidup mereka. Kenapa minoriti yang ke Mahkamah yang telah kehilangan hak ke atas tanah tidak boleh hidup dan menyara keluarga apabila kerajaan Negeri tawar empat ekar dan dua ekar?

Seterusnya, Kerajaan Negeri telah juga mengambil inisiatif-inisiatif berikut untuk kepentingan dan kebajikan perserta Gatco ini:

  1. Pengecualian bayaran cukai tanah yang tertangguh sekian lama
  2. Mengecualikan bayaran premium tanah
  3. Tempoh masa pajakan dilanjutkan sehingga 99 tahun
  4. Penanaman semula melalui Risda

Justeru itu, semua perancangan ini melibatkan kos dan kehilangan hasil di pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri merupakan Kerajaan Prihatin sebab itu kerajaan yang ada sekarang membantu peserta-peserta Gatco ini.

Saya rasa, cukup lah dan hentikan serangan yang tidak berasas ini ke atas Kerajaan Negeri sekarang di atas kecuaian Pentadbiran yang terdahulu.

Sekian, terima kasih

YB Veerapan Superamaniam

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan

ADUN Repah

17 Disember 2020

LAMPIRAN ‘A’

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button