BeritaMenarik

Veerapan serah bantuan biasiswa kepada 78 pelajar kurang kemampuan

REPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, YB Veerapan Superamaniam telah menyerahkan bantuan kewangan kepada 78 pelajar sekolah yang kurang berkemampuan di DUN Repah.

Veerapan berkata, seramai 44 murid sekolah rendah telah menerima Bantuan Anak Sekolah (BAS) sebanyak RM600, manakala 34 pelajar sekolah menengah telah menerima Biasiswa Anak Negeri (BAN) sebanyak RM500.

“Pendidikan adalah sangat penting untuk pelajar kerana akan menentukan masa depan mereka.

“Selepas tamat zaman persekolahan, mereka memasuki institut pengajian tinggi bagi meneruskan pendidikan yang lebih tinggi dan seterusnya memasuki alam pekerjaan.

“Jadi kita tahu sebelum ini ada yang tercicir daripada arus pendidikan. Ada yang tidak mampu untuk mendapatkan pekerjaan.

” Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Negeri Sembilan sebenarnya.

“Kita mahu setiap anak Negeri Sembilan ini mendapat pendidikan yang baik supaya mereka boleh hidup dengan kualiti hidup yang lebih baik,” kata Veerapan.

Justeru itu, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan pimpinan YAB Dato’Seri Aminudin Harun mengutamakan pendidikan untuk anak-anak Negeri Sembilan.

“Sekurang kurangnya, mereka mencapai tahap SPM. Kalau ada yang berminat untuk teruskan akademik mereka boleh masuk IPTA ataupun IPTS.

“Kalau yang tidak berminat dari segi akademik, mereka boleh masuk ke TVET. Ini adalah satu institusi yang kita ada untuk mengajar kemahiran untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang seperti di ILP Pedas.

“Kita ada banyak institusi yang mengajar kemahiran untuk anak kita supaya mereka boleh menggunakan pengetahuan ataupun kemahiran yang ada untuk masa depan mereka bagi membolehkan mendapatkan pekerjaan,” ujarnya.

Veerapan yang juga Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan berkata, terdapat 3,500 kekosongan peluang pekerjaan di Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button