BeritaMenarik

Majlis istiadat Adat Perpatih mampu tarik pelancong ke Negeri Sembilan

SEREMBAN: Majlis istiadat Adat Perpatih seperti Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli wajar dijadikan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Negeri Sembilan.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) berminat dalam mewar-warkan istiadat seperti ini kepada orang ramai supaya menjadi salah satu tarikan terhadap sektor pelancongan Negeri Sembilan.

“Ia juga wajar dijadikan produk pelancongan bagi menarik minat segmen masyarakat tertentu di seluruh dunia untuk datang melawat ke Negeri Sembilan dan seterusnya dapat mengetengahkan keunikan adat di Negeri Sembilan.

“Selain Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli ini, terdapat juga Istiadat Kerjan atau Menabal, Istiadat Menjemput Orang Besar serta pelbagai lagi istiadat tradisi yang akan diadakan dari masa ke semasa yang boleh disaksikan oleh orang ramai secara langsung dan dekat.

“Kesemua istiadat ini merupakan daya tarikan Negeri Sembilan dan sesuai dimasukkan dalam pakej pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke Negeri Sembilan, seterusnya dapat menyuntik sektor pelancongan Negeri dan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan,” jelas Nicole.

Menurut Nicole, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli merupakan majlis tradisi bagi setiap tiga tahun sebagai melafazkan ikrar dan sembah taat setia oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak Terachi terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Selain dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja serta kenamaan kerajaan, istiadat ini juga terbuka kepada orang ramai supaya dapat menyaksikan istiadat yang penuh bersejarah ini secara dekat.

“Ia sekaligus mampu menjadi daya tarikan pelancong luar terhadap keunikan adat di Negeri Sembilan.

“Saya berharap agar istiadat-istiadat seperti ini dapat diperkenalkan ke seluruh dunia, seterusnya dapat meletakkan Negeri Sembilan ke dalam peta dunia sebagai sebuah negeri yang kaya dengan adat dan keunikannya yang tersendiri.

“Saya juga berharap agar semua pihak termasuk agensi-agensi yang terlibat akan turut bersama memainkan peranan dalam usaha ini, seterusnya mengangkat sektor pelancongan Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa,” ujar Nicole lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button