Kursus kompetensi Pegawai Pemeriksa Halal cipta impak bermakna

PORT DICKSON: Bagi memperkasa pengetahuan dan kemahiran Pegawai Pemeriksa Halal Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menganjurkan Kursus Kompetensi Pegawai Pemeriksa Halal selama dua hari bermula 25 hingga 26 Jun 2025 bertempat di Grand Lexis Port Dickson.
Kursus ini menghimpunkan barisan pegawai yang berperanan penting dalam pelaksanaan dan pemantauan pensijilan halal di lapangan.
Penceramah jemputan dari JAKIM dan KKM turut dijemput bagi menyampaikan input terkini berkaitan standard halal, prosedur pemeriksaan dan etika kerja pemeriksa.
Turut hadir menyempurnakan program ini ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS, Zalina Long, yang turut menekankan kepentingan integriti dan kompetensi dalam menjalankan tugas pemeriksaan halal yang kian mencabar.
Kursus ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman teknikal peserta, malah menjadi platform perkongsian pengalaman dan penyeragaman pelaksanaan tugas mengikut piawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa pensijilan halal.