
Sejak kebelakangan ini, tular di media sosial kisah cinta antara remaja bawah umur dan individu dewasa dijadikan konten romantik, dipuji ramai, bahkan dijual sebagai ‘couple goals‘.
Namun di sebalik naratif manis itu tersembunyi satu hakikat yang sangat membimbangkan.
Ia adalah satu bentuk ‘child grooming‘ yang disamarkan sebagai cinta.
Ia bukan saja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga bertentangan dengan nilai agama dan asas moral manusiawi.
‘Child grooming‘ merujuk kepada proses halus memanipulasi dan memperdaya kanak-kanak atau remaja oleh individu dewasa, biasanya untuk membina hubungan emosi, mendapatkan kepercayaan dan akhirnya mengeksploitasi mangsa secara emosi, fizikal atau seksual.
Proses ini sering berlaku secara perlahan, penuh pujuk rayu, hadiah, janji-janji manis dan kadangkala disertai ugutan emosi.
Inilah yang menjadikan ia sangat berbahaya kerana ia berselindung di sebalik wajah cinta.
Ibu bapa hari ini tidak boleh lagi hanya bergantung kepada ‘nasihat’ sebagai benteng perlindungan.
Perlu ada pemantauan lebih aktif seperti ketahui dengan siapa anak-anak berhubung, apa yang mereka tonton, dan siapa yang memberi perhatian kepada mereka di ruang digital.
Sering kali pemangsa tidak datang dalam bentuk yang menakutkan, tetapi dalam bentuk yang sangat menyenangkan mesra, prihatin, dan “faham perasaan”.
Di sinilah anak-anak kita terperangkap.
Masyarakat pula perlu berhenti meromantiskan hubungan yang jelas-jelas tidak setara dari segi umur, emosi dan kuasa.
Apabila kandungan seperti ini diviralkan dan dipuji, ia secara tidak langsung menormalisasikan budaya tidak sihat ini.
Kita tidak boleh terus membenarkan naratif ‘asal suka sama suka‘ digunakan untuk melindungi perbuatan yang menjurus kepada eksploitasi.
Suka sama suka bukan lesen untuk membenarkan perhubungan yang tidak syarie dan menyalahi undang-undang.
Kepada individu dewasa jika benar ada rasa cinta terhadap seseorang yang lebih muda, buktikan dengan cara yang betul.
Tunggu sehingga dia cukup umur, matang dan bersedia.
Jika betul niatnya suci, jagalah maruahnya, lindungilah dia, dan nyatakan hasrat dengan cara yang diredhai Tuhan.
Tapi jika niat hanya untuk memenuhi nafsu dan mengambil kesempatan atas kejahilan serta kelemahan emosi mereka, itu bukan cinta itu penderaan.
Kita juga harus menolak keras budaya diam serta jangan menjadi ‘enabler’.
Tidak kira sama ada dengan menyokong secara terang atau membisu bila nampak sesuatu yang salah.
Jangan takut untuk bersuara jika nampak unsur manipulasi atau eksploitasi.
Laporkan kepada pihak berkuasa, kongsi maklumat dengan organisasi perlindungan kanak-kanak, dan sebarkan kesedaran. Lebih baik kita salah ‘overprotective’ daripada menyesal kemudian hari.
Dalam masyarakat yang sihat, anak-anak kita sepatutnya boleh membesar dalam suasana yang selamat, bebas dari tekanan emosi yang tidak wajar, dan jauh daripada pemangsaan yang berselindung di balik topeng ‘sayang’. Kita mesti hentikan budaya ini sebelum ia menjadi norma.
Jika hari ini kita diam, esok kita mungkin menangis melihat generasi muda rosak kerana kita tidak bertindak.
Child grooming bukan perkara kecil. dan ia juga bukan isu cinta.
Ia adalah jenayah. Ia adalah pengkhianatan terhadap kepercayaan, pelanggaran terhadap maruah, dan permulaan kepada trauma yang mungkin kekal seumur hidup.
Jangan biarkan ianya berlaku di depan mata kita.
LAWAN, LAPOR, LINDUNG.