Berita

1,500 Jemaah Tunai Solat Sunat Aidiladha di Seri Menanti

SERI MENANTI: Seramai 1,500 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Perkarangan Dewan Awam Tuanku Najihah, Kuala Pilah berhadapan Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti disini.

Turut berkenan berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang tiba di perkarangan masjid kira-kira pukul 8.30 pagi.

Berangkat sama, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Ketibaan baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bersama isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Solat sunat Aidiladha itu dipimpin Imam Eksekutif Masjid Diraja Tuanku Munawir, Abdul Rahman Ibrahim.

Selesai solat, Abdul Rahman turut menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk Korban Sebagai Syiar Keimanan yang menekankan penghayatan terhadap ibadah korban sebagai lambang ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT.

Menurut Abdul Rahman, Aidiladha mengingatkan umat Islam bahawa ketaatan kepada Allah menuntut keikhlasan serta kesediaan mendahulukan perintah-Nya melebihi kehendak diri sendiri.

Selain itu, ibadah korban juga mengajar erti kepatuhan, pengorbanan dan keinsafan dalam memperkukuhkan hubungan sesama insan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Fauzidnaim Badaruddin.

Sementara itu, acara ibadah korban di bawah kelolaan masjid berkenaan pada tahun ini dilaksanakan di kawasan luar susulan lokasi sedia ada sedang menjalani kerja-kerja penambahbaikan.

Dalam pada itu, sebanyak 21 ekor lembu dikorbankan bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini.

Sementara itu, kemeriahan Aidiladha di Seri Menanti turut diserikan dengan jamuan di perkarangan Istana Seri Menanti.

Orang ramai yang hadir menikmati pelbagai juadah yang disediakan sekali gus menambah kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Show More

Related Articles

Back to top button