JIM Tangguh Pelaksanaan PMA Versi Baharu, Tarikh Baharu Akan Dimaklumkan

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengumumkan penangguhan pelaksanaan Pasport MalaysiaAntarabangsa (PMA) versi baharu yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 1 Jun 2026 ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Bin Shaaban, penangguhan tersebut dibuat bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta mengekalkan pengalaman urusan rakyat pada tahap terbaik.
“Pelaksanaan PMA versi baharu yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 1 Jun 2026 akan dijadualkan semula ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
“Orang ramai masih boleh memperbaharui pasport sedia ada seperti biasa manakala pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh” katanya.
Dalam pada itu, sebarang perkembangan lanjut berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.
“JIM amat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan orang ramai serta kekal komited dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.



