Berita

220 pelajar Temiang terima sumbangan telefon pintar dan’tablet’ dari Ng

TEMIANG: Sebanyak 100 unit telefon pintar (smart phone) dan 120 ‘tablet’ (peranti pintar) telah diagihkan kepada 220 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan oleh ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai.

Ng berkata, Pusat Khidmat Rakyat DUN Temiang dengan kerjasama sebuah syarikat swasta telah menjalankan satu program sumbangan 100 unit telefon pintar kepada pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada golongan B40 di DUN Temiang.

“Pelajar-pelajar tersebut adalah dari Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad dan Sekolah Menengah Chan Wa, Jalan Temiang.

“Sumbangan telefon pintar ini adalah tambahan kepada sumbangan 120 unit ‘tablet’ oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Di bawah program sumbangan ini pejabat saya menanggung yuran pakej akses internet selama enam bulan supaya pelajar dapat mengakses internet dalam tempoh ini.

“Ini adalah untuk memudahkan para pelajar meneruskan pembelajaran secara talian (online) dari rumah mereka,” jelas Ng.

Ng berkata, penerima telefon pintar juga perlu mematuhi syarat-syarat seperti telefon pintar tersebut tidak boleh dijual kepada pihak ketiga.

“Syarat kedua adalah pejabat saya akan sentiasa membuat semakan pengunaan telefon pintar ini.

“Syarat ketiga adalah pejabat saya berhak menarik balik telefon pintar ini sekiranya mendapati penerima menyalahgunakannya,” ujar Ng lagi.

Ahli Parlimen Seremban, YB Loke Siew Fook yang turut hadir, pula berharap syarikat swasta yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dapat menjalankan tanggungjawab korporat sosial (CSR) mereka dan membantu pelajar yang miskin seperti menderma wang atau menyumbang komputer.

“Ini perlu agar lebih banyak pelajar mempunyai peralatan yang mencukupi untuk pembelajaran dalam talian,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button