Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan dan AEON Mall Nilai buka peluang pemasaran kepada usahawan kecil

NILAI: Dalam usaha untuk membantu usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka khususnya di pasaraya besar, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengadakan kerjasama dengan Aeon Mall, Nilai untuk mewujudkan Astaka Produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Sembilan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abdul Malek berkata, untuk menembusi dan meletakkan produk di pasaraya seperti Aeon Mall bukan suatu perkara yang mudah untuk usahawan kecil.

“Kewujudan Astaka Produk PKS Negeri Sembilan di Aeon Mall membuka peluang kepada usahawan ini memperkenalkan dan meningkatkan pasaran produk mereka.

“Lebih daripada 60 produk PKS Negeri Sembilan dipasarkan di astaka ini. Orang ramai digalakkan menyokong produk PKS Negeri Sembilan dengan membeli produk-produk yang dipamerkan di astaka ini.

“Keseluruhan produk yang dipasarkan di astaka ini adalah berkualiti tinggi dan mematuhi piawaian seperti MeSTI dan Halal,” kata Mohamad Rafie dalam ucapan perasmian.

Sementara itu Mohamad Rafie berkata, beliau telah memulakan perbincangan dengan pihak AEON, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan, Puan Ain Arjuna Aziz Zaman dan Pegawai UPEN Negeri Sembilan, Puan Nurul Nathasya Mokhtar untuk mengadakan Karnival Produk PKS Negeri Sembilan di kedua-dua Aeon Nilai dan Aeon Seremban 2 pada bulan Jun 2021, September 2021 dan Disember 2021.

“Perancangan ini jika berjaya dilaksanakan akan membantu PKS melonjakkan hasil jualan mereka,” ujar Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan.

Show More

Related Articles

Back to top button