BeritaMenarikProgram

45 calon STPM Negeri Sembilan 2023 dapat ‘4.00 flats’

SEREMBAN: Keputusan calon STPM di Negeri Sembilan bagi tahun 2023 menunjukkan peningkatan apabila seramai 45 calon telah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 43 orang pada tahun 2022.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, mereka ini terdiri daripada 42 calon (Sains Sosial), satu calon (Sains) dan dua calon (Agama dan Tahfiz).

“Kolej Tingkatan 6 Tuanku Muhriz masih lagi mengekalkan pencapaiannya dalam menghasilkan jumlah calon cemerlang PNGK 4.00 yang paling ramai iaitu 13 pelajar, diikuti oleh SMK Mantin (enam pelajar), dan SMK Tuanku Muhammad juga (enam pelajar).

“Di sini jelas terbukti, kita sekali lagi telah berjaya meningkatkan kuantiti dan kualiti calon cemerlang 4.00 bagi Negeri Sembilan.

“Tahniah dan syabas kepada semua calon STPM 2023, para pendidik, ibu bapa, serta mereka yang sentiasa membantu secara langsung atau tidak langsung demi kejayaan anak-anak di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian kepada Negeri Kita di Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 Peringkat Negeri Sembilan di SMK Mantin.

Kesemua 45 pelajar ini turut menerima sumbangan kewangan RM1,000 setiap seorang daripada Aminuddin di atas pencapaian cemerlang mereka. 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button