8,794 suri rumah terima sumbangan caruman KWSP berjumlah RM527,640
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif mencarum sejumlah RM527,640 kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi melayakkan 8,794 orang suri rumah dan wanita Ketua Isi Rumah (KIR) untuk skim i-Suri KWSP.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan tersebut adalah caruman bagi setahun dengan setiap penerima menerima RM5 sebulan ataupun RM60 setahun.
Dengan caruman ini, pencarum secara automatik layak untuk menerima caruman berjumlah RM40 sebulan daripada pihak KWSP melalui skim i-Suri. Para pencarum turut menerima faedah daripada KWSP dalam bentuk:
i. Dividen tahunan KWSP
ii. Bantuan Kematian berjumlah RM2,500
iii. Bantuan Hilang Upaya berjumlah RM5,000
“Ini adalah tahun ketiga inisiatif ini dilaksanakan dan melibatkan semua suri rumah dan wanita KIR yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) Negeri Sembilan.
“Sejak tahun 2020 dan 2021, para pencarum di bawah inisiatif ini mempunyai jumlah caruman RM1,081.05 hasil daripada sumbangan RM60 setahun daripada Kerajaan Negeri Sembilan.
“Jumlah tersebut tidak termasuk dividen bagi tahun 2021 yang akan diisytihar, sumbangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2022, serta insentif RM480 Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2022,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berharap dengan sumbangan ini, golongan suri rumah serta ibu tunggal khususnya daripada golongan yang kurang berkemampuan terbela sewaktu mereka miniti usia tua kelak.