Aminuddin: Amal keterbukaan dan dasar inklusif menyantuni rakyat majmuk
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyeru umat Islam mengamalkan sikap keterbukaan dan dasar inklusif dalam menyantuni rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai realisasi semangat rahmat sejagat (rahmatan lil ‘alamin) yang menjadi ciri asasi risalah Islam.
“Oleh kerana itu, kita perlu melaksanakan agenda pemberdayaan dan pengangkatan martabat umat sesuai dengan idealisme khyara ummah.
“Justeru, umat Islam adalah pemikul amanah melayani seluruh umat manusia dengan prinsip damai (salam) dan memastikan semuanya (muslim dan bukan muslim), sama-sama dapat menikmati rahmat kurnia Tuhan yang terkandung dalam agama-Nya (al-Islam).
“Semangat damai harus menjiwai segala bentuk interaksi dengan semua pihak, di dalam dan di luar negara.
“Sesungguhnya ciri penting keunggulan umat Islam ialah khidmat baktinya kepada kemanusiaan sejagat (ukhrijat li ‘n-nas),” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Membangun Khyara Ummah: Reformasi-Islahi dan Agenda Pemberdayaan Umat Peringkat Kebangsaan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, kelmarin.
Seminar ini anjuran bersama Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Institut Darul Ehsan (IDE), Selangor.