Berita

Aminuddin: Kekal berjuang menjulang reformasi

Tahun 2020 meninggalkan kesan yang paling mendalam dengan pelbagai ujian dan cabaran. Bingkisan pengalaman dalam rakaman suka duka rentetan peristiwa sepanjang tahun ini wajar dimuhasabah dan dicermati penuh ibrah.

Agenda besar kita masih tertangguh, reformasi yang kita usahakan terhenti apabila kerajaan pilihan rakyat terkandas di tengah jalan. Mandat dirobek rakus, demokrasi dicabuli tanpa segan silu, kesan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan tatakelola negara semakin dirasai.

Namun, walau badai melanda kita masih diizinkan berdiri memegang panji negeri. Syukur kehadrat Ilahi yang masih memberikan ruang untuk kami terus berkhidmat, menabur jasa dan mengerah keringat demi rakyat yang kita kasihi.

Dua tahun enam bulan telah berlalu, semuanya pergi begitu pantas. Terlalu banyak kerja buat yang perlu tetap diusahakan. Saya sedar bahawa baki kurang tiga tahun ke hadapan adalah fasa kritikal untuk kita semua. Sama ada berjaya kembali bangkit membangun negeri dan memulihkan ekonomi secara kolektif, semua ini bergantung kepada dokongan dan sokongan semua pihak, terutama rakyat.

Mengambilkira seluruh data, pertimbangan situasi politik dan perkiraan iklim ekonomi domestik serta global sememangnya menghadapi tahun baru akan menjadi lebih getir, sukar diramal dan dijangka. Akan tetapi segala persiapan telah dirangka, perencanaan telah kita siapkan bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal tiba.

Perluasan inisiatif sedia ada dan pengenalan inisiatif baru dalam Belanjawan 2021 lalu diharapkan agar usaha memperkasa rakyat dapat dilaksanakan. Matlamat kita supaya ekonomi dapat dimangkin dalam kadar segera.

Di peringkat kerajaan negeri, saya dan barisan kepimpinan yang telah diamanahkan akan terus memberikan khidmat yang terbaik. Iltizam kami selagi diberikan kepercayaan akan terus menumpah jasa dan bakti sehabis daya. Komitmen kita tetap sama akan terus setia dalam berjanji, kekal berjuang menjulang reformasi. Keadilan, kesaksamaan perlu dirasai semua pihak, kekayaan negeri jua perlu dinikmati seluruh murba dan jelata.

Apa pun yang akan terjadi, pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu, sentiasa berusaha kuat, saling memberdaya agar kestabilan, keharmonian dan kejayaan yang pernah kita kecapi dapat direalisasikan.

Ayuh sama perbaharui niat kita, rapatkan jurang, ringan membahu dan sedia membantu. Tinggalkan politik perkauman sempit, terus muafakat membina legasi buat tauladan anak cucu kita.

Laluilah tahun baru dengan penuh mahabbah dan kasih sayang sesama kita termasuk memelihara nilai-nilai murni yang dikongsi bersama.

Sedarilah bahawa konotasi negatif terhadap perubahan nilai telah mengundang bersama terhadap kemelut ketidakstabilan politik. Jelas di sini, peranan nilai amat mustahak dalam kerana kuasa nilai inilah yang berperanan sebagai penentu utama di dalam sistem politik yang menjadi wasilah demokrasi dalam pembentukan negara dan seterusnya membina peradaban.

Baik atau buruknya, benar atau salahnya, bersih atau kotornya sistem bergantung sepenuhnya kepada nilai masyarakat yang menjadi watak utama di dalam pentas politik.

Akhir kalam, kita perlu optimis masa depan ini hanyalah untuk kebenaran. Bulatkan pengharapan kepada Allah, berdoalah supaya diampuni dosa yang berlalu dan diberi kebaikan berkekalan menempuhi tahun baru. Moga kita dikurnia sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.

Salam Perjuangan, Selamat Menyambut Tahun Baru 2021.

YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun
Menteri Besar Negeri Sembilan
ADUN Sikamat
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, KeADILan Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button