Berita

Aminuddin seru kehadiran jemaah masjid dipertingkatkan

SEREMBAN: Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan diseru berusaha meningkatkan kehadiran jemaah di masjid khususnya golongan muda.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, situasi kehadiran masjid sebelum dan selepas pandemik Covid-19 adalah sangat berbeza.

“Contohnya kehadiran solat subuh dalam bulan Ramadan tahun ini hanyalah baik sedikit sahaja daripada bulan-bulan sebelumnya.

“Berbeza dengan tahun 2019 apabila di masjid dan surau di seluruh negeri meriah dengan kehadiran para jemaah tidak kira waktu.

“Justeru semua ahli mesyuarat harus berusaha memikirkan kaedah untuk mengimarahkan masjid dan para Pegawai Hal Ehwal Islam dari semua bahagian dan unit untuk turun ke masjid bagi menyantuni keperluan ahli kariah dan jawatankuasa masjid,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama Islam di Wisma Negeri, Seremban yang dipengerusikan oleh beliau.

Aminuddin menasihatkan sambutan ramadhan tahun ini dimanfaatkan dengan mengembalikan momentum pengimarahan masjid dengan kehadiran jemaah termasuk dalam kalangan kanak-kanak setelah SOP peralihan fasa endemik telah diberikan kelonggaran.

“Sama-samalah kita berusaha agar masjid dan surau sentiasa berada dalam hati umat Islam di negeri ini, Insyah Allah,” ujar Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button