Berita

Anwar gesa SPR segerakan Undi 18 tahun

SEREMBAN: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan kelayakkan pengundi 18 tahun sebelum hujung tahun ini agar golongan itu dapat menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut dibincangkan ketika pihaknya bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Kelayakkan mengundi 18 tahun itu mesti dijalankan dan selama ini kerajaan cuba berdolak-dalih memberikan pelbagai alasan teknikal, undang-undang dan sebagainya.

“Apabila saya berjumpa dengan Dato’ Seri Ismail Sabri, saya juga tekankan bahawa hal ini perlu dilaksanakan sebelum akhir tahun ini iaitu sebelum PRU akan datang,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau percaya SPR dapat arahan yang jelas malah mereka mampu menjalankannya (Undi 18).

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SPR diarah bersiap sedia untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button