Kolumnis

Undi Pakatan Harapan bermakna undi Anwar sebagai PM

Anwar mampu bawa Malaysia keluar dari krisis ekonomi

EDY NOOR REDUAN: Kelmarin seramai 70 profesor Melayu tampil bersama Deklarasi G70 menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 kerana kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.

Hari ini pula sebanyak 102 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jaringan NGO Melayu Islam menyatakan pendirian sama, betapa Anwar secara konsisten menyuarakan isu kemiskinan rakyat merentas kaum dan nasib golongan bawahan dalam kalangan petani, nelayan, pekebun, pesawah, buruh kasar dan peniaga kecil.

G70 juga menyatakan bahawa Anwar punya pengalaman dan integriti untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum serta meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

Manakala NGO Jaringan Melayu pula yakin bahawa Anwar tokoh yang paling layak untuk dipilih bagi memimpin Malaysia keluar daripada krisis ekonomi, kebejatan tadbir urus, membanteras rasuah, mengatasi sentimen perkauman serta membanteras penyelewengan kuasa.

Dengan justifikasi sokongan di atas, apakah kita mempunyai alasan untuk menafikan peluang Anwar Ibrahim memegang tampuk pentadbiran negara?

Kedua-dua pihak yang tampil ini secara tidak langsung menyangkal tohmahan kononnya Anwar tidak disokong oleh Melayu. Anwar Ibrahim cuma tidak disokong oleh segelintir golongan Melayu yang telah dipesongkan pemikiran dan dimomokkan dakyah perkauman. Golongan ini tidak bersalah, mereka cuma belum disedarkan waima memasuki era 2022.

Isu perkauman harusnya tidak lagi menjadi soal kerana perkara yang lebih penting ialah isu ekonomi. Anwar Ibrahim dipercayai mampu memacu negara mengikut acuannya selaku pemegang rekod Menteri Kewangan Terbaik Asia suatu ketika dulu selain rekod yang bersih, tiada salah laku, tiada rasuah dan ketirisan dilaporkan sepanjang menjawat jawatan menteri.

Pilih Anwar demi kestabilan politik dan ekonomi

Memilih Anwar juga ertinya memilih kestabilan politik dan seterusnya menstabilkan ekonomi. Pelabur luar khususnya negara kaya dari Arab, Turki dan Eropah selama ini menanti detik Anwar Ibrahim menjadi PM untuk menyuntik pelaburan berskala besar. Mereka yakin dengan ‘brand’ Anwar Ibrahim.

Selama puluhan tahun ini, Anwar Ibrahim kita kenal begitu obses untuk membantu marhein di bawah dan membasmi kemiskinan. Inilah naratif wajib dalam setiap ucapan beliau. Apakah keterlaluan untuk kali ini jika kita pula yang obses mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Selama ini juga kalian menjadi saksi betapa sukarnya jalan yang dilalui oleh Anwar Ibrahim dalam politik tanahair, percayalah bahawa kesukaran inilah yang akhirnya membawa kepada kemenangan yang paling berharga untuk rakyat Malaysia.

Esok adalah peluang terbaik untuk rakyat Malaysia melakar sejarah baharu negara, menjadi sebahagian dari gerakan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Rakyat – The People’s Champ!

Mantra 19 November 2022, Anwar Untuk Malaysia, Undi HARAPAN.

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger

18 November 2022

Show More

Related Articles

Back to top button