Bantuan boleh ditarik jika kemuka maklumat palsu: MOF

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menegaskan bahawa bantuan yang diberikan oleh kerajaan boleh ditarik semula sekiranya pemohon mengemuka maklumat palsu.
Menurut MoF, semakan berkala turut diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak rekod pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara pemohon.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, jika terdapat maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil.
Dalam pada itu, MoF dalam kenyataan sama memaklumkan peruntukan keseluruhan untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, menjadikannya jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
Menurut MoF, peruntukan berjumlah besar itu susulan penyusunan semula pemberian STR dan SARA sebagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara lebih berkesan.
SARA menyediakan bantuan asas berterusan kepada rakyat dengan 8 juta individu, termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar layak menerimanya secara bulanan.
STR pula diberi sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberikan ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan,” menurut kenyataan itu.
MoF turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR Fasa Satu tahun ini, yang akan mula disalurkan pada Selasa depan.
Sumber: BERNAMA



