Berita

Bekalan beras negara mencukupi hingga hujung tahun, orang ramai diminta tidak panik

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan beras negara dijangka mencukupi sehingga hujung tahun ini, selagi orang ramai tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan stok secara berlebihan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam rancangan Bicara Naratif (TV1 – RTM) mengenai tempoh ketahanan stok beras negara.

Menurutnya, orang ramai perlu mengekalkan corak pembelian seperti biasa dan tidak membeli dalam jumlah yang melampau kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan pasaran.

“Sebagai contoh, jika kebiasaannya seseorang membeli satu beg beras 10 kilogram sebulan, mereka tidak seharusnya tiba-tiba membeli sehingga empat beg.

“Jika semua pengguna bertindak demikian, jangka hayat stok akan berkurangan dengan cepat dan seterusnya mengganggu pasaran,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa gangguan pasaran tidak boleh dipandang ringan kerana bekalan yang mencukupi boleh menjadi berkurangan dalam tempoh singkat akibat permintaan mendadak.

“Stok yang sepatutnya mampu bertahan sehingga enam bulan boleh habis dalam masa dua bulan sahaja.

“Apabila bekalan berkurangan, harga pula akan meningkat, dan golongan berpendapatan rendah akan menerima kesan paling besar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak panik, tidak menyimpan stok berlebihan, serta mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan harian.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan telah menyediakan stok penimbal beras yang diurus secara sistematik bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Setiap kali stok dikeluarkan, ia akan digantikan semula dengan stok baharu.

“Sebagai contoh, jika 1,000 metrik tan beras dikeluarkan hari ini, jumlah yang sama akan ditambah semula dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, sistem tersebut direka untuk menjamin kesinambungan bekalan beras dalam negara.

“Orang ramai tidak perlu terlalu bimbang. Apa yang penting adalah membeli mengikut keperluan dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

“Jika semua pihak memainkan peranan, situasi ini dapat dihadapi dengan tenang dan terkawal,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button