SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan mengambil pendekatan untuk betulkan yang biasa, biasakan yang betul.
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, Kerajaan Negeri telah memulakan satu inisiatif yang baru iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi notis makluman selama 21 hari kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN sebelum menamatkan bantuan JKM yang berkuatkuasa pada 22 Januari 2020.
“Diharapkan langkah positif ini akan disambut baik oleh ADUN dan Penyelaras DUN dengan langkah positif dan memaklumkan kepada pihak JKM berhubung kes-kes yang kononnya layak tetapi masih ditamatkan dengan segera, dalam masa 21 hari yang tersebut.
“Semua penamatan bantuan akan dilakukan setelah siasatan terperinci dilaksanakan dan bukan ditamatkan dengan sewenang-wenangnya,” kata Nicole dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada Rabu.