SEREMBAN: Bantuan Inisiatif Care For You (C4U) Ibu Tunggal Negeri Sembilan merupakan kesinambungan inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sejak tahun 2019.
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, bantuan ini diberikan kepada golongan ibu tunggal di bawah kategori miskin dan miskin tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan Tahun 2019.
“Untuk tahun 2021, bantuan RM200 secara one-off ini melibatkan 5,000 penerima manfaat dengan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM1,000,000.
“Senarai ibu tunggal ini diperolehi daripada data e-Kasih dan diperakukan di peringkat daerah.
“Pengesahan status ibu tunggal ini adalah wajar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan ibu tunggal yang layak menerima mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” kata Nicole.
Nicole berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, YB Ng Chin Tsai di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu.