Buka peluang pekerjaan agenda utama Kerajaan Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bersama MIE Industrial Sdn Bhd.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, MIE akan menyediakan peluang latihan dan pekerjaan dalam bidang kepakaran yang diterajui oleh MIE seperti minyak dan gas (oil and gas), petrokimia, tenaga dan industri umum.
“YNS akan menyediakan senarai calon dalam kalangan graduan muda anak jati Negeri Sembilan untuk ditemuduga dan dipilih oleh MIE bagi tujuan program protégé ini.
“MOU ini adalah bagi menjayakan Program Protégé Train and Place TVET untuk para belia di Negeri Sembilan dan juga merupakan lanjutan daripada Majlis Pelancaran Kerjasama di antara YNS bersama Negeri Sembilan Skills Development Center (NSSDC) dan Job Matching Initiative pada 28 Mac lalu.
“Besarlah harapan saya agar kerjasama pintar YNS dan MIE ini dapat membuahkan hasil yang baik untuk anak Negeri Sembilan dengan memberikan peluang kerjaya yang setimpal serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” kata Aminuddin.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Yayasan Negeri Sembilan bersama MIE Industrial Sdn Bhd dalam Program Protégé Train and Place TVET berlangsung di pejabat YNS petang Selasa.
Turut hadir, Pengarah YNS, Encik Nazri Kassim.