Berita

Cha gesa ibu bapa ambil berat pendidikan anak

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin menggesa para ibu bapa sentiasa mengambil berat tentang pendidikan anak masing-masing.

“Hanya melalui pendidikan sahaja nasib sesebuah keluarga akan berubah dan anak-anaklah sandaran masa depan kita.

“Apabila keluarga menjadi entiti asas dalam masyarakat yang maju, sudah pastinya masyarakat dan negara kita juga akan maju ke hadapan.

“Ayuh, bersama kita mendukung pendidikan anak-anak kita,” kata Cha dalam ucapan perasmian Program Bimbingan Aura Lulus, anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Seremban di Sek Tinggi Chung Hwa.

Cha berkata, beliau turut diberikan peluang menjadi penceramah Motivasi di hadapan 200 orang ibu, bapa dan pelajar yang terpilih dari 11 buah sekolah di Daerah Seremban.

“Saya sempat berkongsi pengalaman saya ketika di alam persekolahan dan bagaimana pendidikan membolehkan saya dan keluarga saya keluar daripada kumpulan B40.

“Sebagai anak yang pernah mengalami pelbagai keperitan dan kehilangan ayah ketika usia muda, saya pernah mengalami pelbagai kepayahan hidup.

“Namun, tekad dan keazaman yang tinggi daripada ibu saya membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke IPTA,” kata Cha lagi.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Seremban, Encik Norazam dan Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid, Puan Noraini.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button