Berita

Negeri Sembilan mahu lahirkan lebih ramai pendaki gunung

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) berhasrat melahirkan lebih ramai pendaki gunung.

Exco Pembangunan Sukan dan Belia Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, kesediaan pendaki gunung Encik Ravichandran Dharmalingam yang bersedia membantu Kerajaan Negeri melahirkan pendaki gunung khususnya golongan muda akan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Encik Ravichandran anak kelahiran Kampung Gentam, Kuala Pilah sangat berpengalaman dalam aktivii pendakian gunung.

“Beliau pernah mendaki Gunung Everest sebanyak tiga kali dan kali terakhir pada bulan Mac lepas.

“Dalam tempoh 72 hari, beliau mendaki gunung kedua tertinggi iaitu Gunung K2 di Pakistan, sebuah laluan pendakian gunung paling bahaya yang banyak mengorbankan nyawa.

“TABAH akan menjadikan Ravichandran sebagai seorang idola bagi golongan anak muda.

Mohamad Taufek berkata demikian selepas majlis meraikan kejayaan Ravichandran di Wisma Negeri dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Menurut Mohamad Taufek, Kerajaan Negeri mahu lahirkan anak muda yang mempunyai ciri-ciri positif yang terdapat pada pendaki gunung.

“Pendaki gunung mempunyai disiplin yang tinggi, berani menyahut cabaran, semangat juang yang tinggi dan peka dengan alam sekitar,” jelas beliau.

Sementara itu Aminuddin mengucapkan tahniah kepada Ravichandran di atas kejayaan menawan Gunung Everest dan Gunung K2.

“Anak muda seharusnya mengambil contoh dan menjadikan semangat Ravichandran sebagai sumber inspirasi.

“Apa juga usaha perlu ada kesungguhan.

“Walaupun kehilangan lapan jari, beliau membuktikan kecacatan fizikal bukan satu batu penghalang untuk mencipta kejayaan,” kata Mohamad Taufek.

Show More

Related Articles

Back to top button