Dari trek ke pentas konvokesyen: Shahril Aiman harumkan nama USIM dalam dunia olahraga

NILAI: Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bukan sekadar merai graduan atas pencapaian akademik, tetapi turut menyaksikan kisah inspirasi seorang graduan Sarjana Muda Matematik Kewangan dari Fakulti Sains dan Teknologi, Muhammad Shahril Aiman bin Mohd Noor, 23, yang berjaya mengharumkan nama universiti dalam dunia olahraga.
Berbakat sejak di bangku sekolah dan dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam sukan, Shahril mendapat tunjuk ajar awal daripada ayahnya, Mohd Noor bin Zakaria, seorang guru serta jurulatih merentas desa.
Malah, abangnya juga merupakan atlet bola baling yang aktif.
“Keluarga sangat menyokong saya dalam sukan dan tidak pernah menghalang minat saya, asalkan pelajaran tidak diabaikan,” katanya.
Sepanjang mewakili Terengganu ke SUKMA 2022, Shahril turut melakar pelbagai kejayaan di peringkat universiti dan kebangsaan. Antara pencapaian terbaiknya termasuk Pingat Emas Sirkit 1 Olahraga IPT 2022 bagi acara 5000 meter, Pingat Gangsa SUKIPT 2024 dalam acara 3000 meter lari berhalangan, serta Pingat Emas Varsity Track and Field Grand Final 2024 bagi acara yang sama.
Baginya, detik paling manis adalah ketika menaiki podium SUKIPT 2024 selepas memperbaharui rekod peribadi terbaik.
“Itu detik yang sangat saya hargai kerana saya dapat buktikan kepada diri sendiri bahawa usaha dan disiplin berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.
Namun, kejayaan itu tidak datang mudah. Shahril pernah beraksi dalam keadaan kecederaan dan berhadapan kekangan latihan ketika pandemik COVID-19 sewaktu mengikuti program Tamhidi.
“Secara mental memang sangat mencabar, tetapi ia mengajar saya tentang ketabahan. Pandemik pula memaksa saya berlatih sendiri tanpa jurulatih dan rakan sepasukan. Itu fasa yang membentuk saya menjadi lebih kuat,” jelasnya.
Disiplin sebagai atlet jelas terpancar melalui rutin hariannya yang diisi dengan latihan pada waktu pagi sebelum memasuki kuliah, dan sesi kedua pada waktu petang atau malam bergantung jadual. Masa lapang pula digunakan untuk menyiapkan tugasan akademik.
“Saya memang susun jadual latihan mengikut jadual kelas supaya saya tak tinggalkan salah satu. Akademik tetap penting,” katanya.
Shahril turut menzahirkan penghargaan terhadap pensyarah USIM yang sentiasa memahami komitmennya sebagai atlet universiti.
Sokongan padu itu menguatkan semangatnya setiap kali menyertai kejohanan, sama ada di pentas SUKMA mahupun ketika mewakili MASUM ke SIPMA 2023.
“Persaingan di MASUM sangat sengit kerana bertemu atlet universiti lain. Tapi itu yang menjadikan saya lebih bersemangat,” katanya.
Selepas menggenggam segulung ijazah, Shahril kini melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dalam Diploma Pascasiswazah Pendidikan sebagai langkah awal untuk bergelar pendidik dan jurulatih.
“Saya mahu terus menjadi atlet dan mungkin akan menceburi bidang kejurulatihan. Insya-Allah, saya mahu melihat lebih ramai atlet USIM mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan,” katanya.
Sebagai penutup, Shahril menitipkan pesan kepada atlet muda, “Disiplinkan diri dalam latihan dan pelajaran. Susun jadual dengan baik, gunakan masa sebaiknya, dan jangan bandingkan diri dengan orang lain. Yang paling penting, sejauh mana pun kita pergi, jangan tinggalkan solat dan al-Quran,” jelas beliau.



