Berita

Aminuddin Menteri Besar paling popular di Malaysia

Populariti Aminuddin meningkat di kalangan orang Melayu, Cina dan India

SEREMBAN: Tahap kepopularan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun kini berada pada 72 peratus yang menjadikan beliau di antara Menteri Besar paling popular ketika ini.

Timbalan Presiden KeADILan, Saudara Rafizi Ramli berkata, kajian NGO penyelidikan data INVOKE mendapati populariti Aminuddin jauh mengatasi populariti Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang hanya 37 peratus.

“Bila tanya orang adakah kamu berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, hanya 37 peratus yang kata puas hati. Bermakna 63 peratus tak puas hati.

“Soalan yang sama bila kita tanya kepada pengundi Negeri Sembilan.

“Jawapannya 72 peratus berkata puas hati dengan prestasi Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,” kata Rafizi.

Masih amal kehidupan yang sederhana selepas menjadi MB

Menurut Rafizi lagi, Aminuddin merupakan satu-satunya Menteri Besar dan ahli politik yang popularitinya meningkat di kalangan orang Melayu, Cina dan India.

“Kami ada data yang berterusan sejak 2018 dan mendapati populariti Aminuddin meningkat tiap-tiap bulan di kalangan orang Melayu, Cina dan India.

“Populariti Aminuddin turut meningkat di kalangan segmen pengundi wanita Melayu dari bulan ke bulan,” jelas Rafizi.

Rafizi berkata keperibadian dan kehidupan Aminuddin tidak berubah walaupun selepas beliau menjadi Menteri Besar.

“Aminuddin masih mengamalkan kehidupan yang sederhana.

“Dulu (sebelum jadi Menteri Besar) dan sekarang sama sahaja, mesra dan dekat dengan rakyat marhaen.

“Selain itu prestasi beliau mentadbir Kerajaan Negeri juga amat membanggakan,” ujar Rafizi.

Rafizi berkata demikian di Ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Perkarangan Stadium Paroi malam tadi yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Turut menyampaikan ceramah, Aminuddin yang juga merupakan Naib Presiden KeADILan; Naib Presiden KeADILan, YB Chang Lih Kang dan Saudara G.Manivannan serta Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button