Faizal tinjau lokasi kerap kemalangan Di Kampung Bukit Tembok
LINGGI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Mohd Faizal Ramli telah turun padang bagi meninjau kawasan kerap kemalangan di Kampung Bukit Tembok.
Faizal berkata, tinjauan tersebut adalah bagi menilai langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
“Antara kawasan yang menjadi perhatian adalah persimpangan Eagle Ranch hingga ke persimpangan Sungai Raya.
“Perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, polis dan Ketua Kampung Bukit Tembok telah diadakan.
“Antara cadangan yang diutarakan adalah termasuk memasang papan tanda amaran, lampu isyarat keselamatan, pembatas kelajuan dan penghadang keselamatan di sepandang laluan yang berisiko tinggi.
“JKR akan melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan langkah yang diutarakan.
“Perkara ini diambil serius bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan insiden kemalangan di kawasan yang menjadi perhatian ramai.
“Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan semasa memandu,” kata Mohd Faizal.