GPS Maahad Ahmadi melonjak, cipta peningkatan ketara dalam SPM 2025
NUR SYAFIQAH BINTI MOHD JEMMI

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 atas pencapaian memberangsangkan, khususnya melibatkan Sekolah Agama Berasrama Penuh (SABP) Maahad Ahmadi negeri itu.
Beliau berkata, pencapaian Maahad Ahmadi wajar diberi perhatian apabila mencatatkan peningkatan ketara dalam keputusan SPM tahun ini, sekali gus membuktikan keberkesanan perancangan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Ini merupakan keputusan pertama SPM bagi sekolah agama berasrama penuh kita selepas projek lima tahun, dan hasilnya amat menggalakkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Sekolah berkenaan merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.62 berbanding 3.36 sebelum ini, menunjukkan lonjakan prestasi yang membanggakan.
Daripada 60 calon yang menduduki peperiksaan, seramai 19 pelajar memperoleh keputusan 10A manakala 13 pelajar meraih 9A, selain semua calon mencatatkan sekurang-kurangnya satu A.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata peningkatan tersebut melibatkan semua mata pelajaran termasuk Bahasa Arab yang menunjukkan lonjakan ketara, sekali gus mencerminkan tahap penguasaan pelajar yang semakin baik.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri serta semua sekolah termasuk di kawasan luar bandar yang menunjukkan peningkatan prestasi.
Katanya, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar berjaya dikecilkan kepada 0.14 berbanding 0.21 sebelum ini, satu perkembangan yang amat positif.
Beliau menegaskan kejayaan itu membuktikan bahawa sekolah agama berasrama penuh milik kerajaan negeri mampu menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam bidang agama yang bakal menjadi pewaris pada masa hadapan.



