Hospital Rembau terima sijil halal
SEREMBAN: Hospital Rembau telah menerima pengesahan sijil Halal Malaysia daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dengan pemberian tersebut maka lengkap pengendali makanan di tujuh hospital di bawah kawalan Kerajaan Negeri memperoleh sijil halal.
“Ia merupakan hasrat Kerajaan Negeri supaya semua pengendali makanan di negeri ini memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia.
“Saya juga melihat pencapaian 100 peratus halal ini wajar diperluaskan lagi.
“Saya juga menyeru serta amat berharap agar perkara ini dipandang serius oleh semua jabatan dan agensi kerajaan demi memelihara kesejahteraan ummah selari dengan slogan bersih, muafakat dan sejahtera,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Penghargaan dan Penyerahan Sijil Halal Malaysia di Wisma Negeri.