BeritaMenarik

ISU BERAS: Jangan kita hilang nilai integriti

Jangan anggap pihak kerajaan dan jentera kerajaan tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran negara ini.

Hakikatnya, pihak kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras di rumah rakyat tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji rakyat di negara kita.

Manakala harus diingat bahawa Beras Putih Tempatan (BPT) adalah bahan kawalan pada harga sekitar RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg), manakala harga beras putih import pula tidak dikenakan kawalan, atau dengan kata lain ia ditentukan secara bebas oleh kuasa pasaran (hukum ekonomi).

Walaupun masih terdapat beberapa rungutan berkaitan kekurangan bekalan beras di pasaran, namun kita menjangkakan isu ini akan selesai dalam beberapa minggu lagi. Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah memberi jaminan yang sama kepada khalayak umum.

Cumanya, saya suka untuk berpesan mengenai sikap sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menukar kampit BPT kepada kampit Beras Putih Import (BPI) di peringkat pengilang atau pemborong seperti yang telah kita kesan dalam beberapa operasi bersepadu pihak berkuasa.

Tujuan mereka bagi mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat di bawah. Soal saya, dimanakah hilangnya nilai integriti pengilang dan pemborong yang melakukan perbuatan ini?

Saya tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ sehingga menyebabkan para pengguna/rakyat menjadi mangsa ketamakan sesetengan pengilang dan pemborong ini.

Pada saya para penipu ini harus diburu pada setiap masa dan dikenakan tindakan undang-undang yang bertepatan dengan Peraturan Kawalan Gred dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Keduanya untuk para pengguna pula, saya cukup berharap agar tiada sebarang tindakan ‘pembelian panik’ dilakukan pada waktu sekarang.

Pilihlah untuk mematuhi syor pihak berwajib, dan selepas itu yakinlah bahawa keadaan akan kembali normal seperti biasa.

YAB Dato’ Seri Jalaluddin Alias
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup
25 September 2023

Show More

Related Articles

Back to top button