Berita

Karnival Deepavali Tampin dan Gemencheh berjaya mencapai matlamat

REPAH: Karnival Deepavali Tampin dan Gemencheh yang dianjurkan buat julung-julung kalinya sempena sambutan Deepavali tahun ini, berjaya mencapai matlamat penganjurannya.

ADUN Repah, YB Veerapan Superamaniam berkata, idea penganjuran Karnival Deepavali di bandar Tampin dan pekan Gemencheh merupakan cetusan idea beliau.

“Saya mendapati setiap tahun Karnival Deepavali secara besar-besaran hanya dianjurkan di bandar Seremban.

“Sedia maklum harga pakaian dan barangan yang ditawarkan di Karnival Deepavali agak murah berbanding hari biasa kerana persaingan yang sihat.

“Namun, saya mendapati ia juga menyukarkan masyarakat yang tinggal di luar daerah Seremban untuk pergi ke Seremban.

“Faktor pengangkutan, kos dan masa perlu diambil kira.

“Justeru, pada tahun ini Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menganjurkan Karnival Deepavali di Tampin dan Gemencheh bagi memudahkan masyarakat tempatan membeli-belah sempena perayaan Deepavali,” katanya bagi menjawab pertanyaan Negeri Kita.

Karnival Deepavali buka peluang perniagaan

Dalam pada itu, Veerapan berkata Karnival Deepavali di Tampin dan Gemencheh juga membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil setempat.

“Sedia maklum golongan peniaga juga antara yang terjejas teruk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Karnival Deepavali membuka peluang dan membantu peniaga kecil di daerah ini untuk menjana pendapatan,” ujar Veerapan yang juga Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan.

Karival Deepavali Tampin dan Gemencheh berlangsung selama sembilan hari dari 25 Oktober hingga 2 November lalu.

300 keluarga terima sumbangan Deepavali

Sementara itu, Veerapan berkata sebanyak 300 keluarga Hindu yang kurang berkemampuan dari Tampin telah menerima sumbangan kewangan dan bantuan makanan sempena Deepavali daripada beliau.

“Semoga sumbangan ini meringankan beban penerima,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button