Berita

Negeri Sembilan perkenal Program Fast Track SPM lepasan tahfiz tahun depan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memperkenalkan jurusan Sains menerusi Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar lepasan tahfiz bermula tahun hadapan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abd Malek berkata, ia melibatkan tempoh pembelajaran selama dua tahun.

Program ‘Fast Track SPM’ Lepasan Tahfiz ini adalah atas inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar lepasan tahfiz mengikuti pogram akademik yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Seramai 50 orang pelajar daripada sekolah-sekolah pondok hafazan telah diberi peluang untuk mengikuti program ini yang dijalankan selama setahun bermula awal Januari 2021 sebelum mengambil peperiksaan SPM pada bulan Februari 2022 nanti.

“Usaha ini agak mencabar kerana hampir lima bulan pelajar terpaksa belajar secara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

“Ianya mencabar kerana rata-rata kesemua pelajar ini tidak pernah mengikuti sekolah menengah dan hanya beberapa tahun sahaja berada di sekolah rendah.

“Justeru pembelajaran secara bersemuka adalah terbaik kerana mereka perlu belajar pelajaran yang dipelajari oleh pelajar biasa selama dua tahun dalam tempoh hanya setahun,” jelas Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie berkata demikian kepada Negeri Kita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penilaian Program Fast Track SPM Lepasan SPM – Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah (MTAS) di Wisma Negeri pada Khamis.

Memprofesionalkan agamawan

Mohamad Rafie berkata, selain pelajaran akademik, pelajar dikehendaki memastikan tahap hafalan sentiasa baik dan lengkap 30 juzuk serta diajar untuk menguasai Bahasa Arab.

“Hasrat Kerajaan Negeri di dalam program ini adalah untuk memprofesionalkan agamawan, di mana kita mengharapkan dapat melahirkan akauntan, peguam, jurutera, doktor perubatan dan pelbagai profesion profesional yang hafiz dan hafizah,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button