Berita

Penduduk Taman Warisan Puteri bakal dapat masjid baharu

Masjid dibina Kerajaan Negeri Sembilan dengan kos RM8.2 juta

SIKAMAT: Kerajaan Negeri Sembilan akan membina sebuah masjid baharu di Taman Warisan Puteri di sini.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri sedar pentingnya untuk merancang dan menyediakan kemudahan pembangunan yang baik, efisien dan berkualiti termasuk pembinaan rumah ibadah.

“Projek Pembinaan Baru Masjid Warisan Puteri ini telah diluluskan dengan kos kontrak berjumlah RM 8,226,876.00 yang melibatkan enam buah masjid yang dibina oleh Kerajaan Negeri melalui Peruntukan Pembangunan Negeri Sembilan.

“Masjid Warisan Puteri akan mempunyai kemudahan ruang solat lelaki dan perempuan, mihrab, tandas, ruang wuduk lelaki dan wanita, ruang limpah, pejabat pengurusan masjid, bilik mesyuarat, bilik tetamu khas, bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, bilik pegawai masjid, kelengkapan sistem siar raya dan menara setinggi 28 meter.

“Selain itu, sejumlah 103 petak parkir kereta, 128 petak parkir motor dan petak parkir khas Orang Kurang Upaya (OKU) juga akan disediakan.

“Insyah Allah, dengan terlaksananya projek ini akan dapat memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada umat Islam setempat,” kata beliau.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Baru Masjid Warisan Puteri pagi tadi.

Show More

Related Articles

Back to top button