BeritaMenarik

Kerajaan kaji dasar sumber manusia, perkasa kebajikan golongan pekerja

Sambutan Hari Pekerja pada setiap tahun pada 1 Mei merupakan satu pengiktirafan kepada kaum pekerja.

Setiap sektor tidak kira pekerja sektor awam, sektor swasta mahupun berkerja sendiri tetap menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.

Pada tahun ini sambutan Hari Pekerja 2024 dengan tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ akan disambut dengan meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Pemilihan tema ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama serta berkompetensi untuk berinovasi dalam meneroka bidang-bidang baru.

Penerokaan bidang-bidang baru yang mendepani ekonomi dunia merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.

Kita sedia maklum bahawa Kementerian Sumber Manusia telah merangka beberapa dasar bagi Tahun 2024 yang dijangka mencabar.

Antara perancangan dasar Kementerian Sumber Manusia adalah Pembangunan Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara (2024 – 2030) di mana rangka kerja Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2024 – 2030 yang dijangka siapa pada suku kedua 2024.

Rangka kerja ini bertujuan untuk mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030 disamping menyokong konsep pekerjaan wajar di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta Agenda Pembangunan Mampan.

Kerajaan juga amat prihatin terhadap aspek kebajikan pekerja-pekerja gig dengan penubuhan Jawatankuasa Pro Tem Penggiat Gig 2024 yang akan keluarkan Garis Panduan Gig 2024 dalam kerangka dasar kawal selia dan perundangan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama yang rapat berusaha ke arah Dasar Gaji Progresif sebagai langkah reformasi pasaran buruh negara dalam memastikan peningkatan produktiviti.

Dasar Gaji Progresif bermula Jun 2024

Projek Rintis Dasar Gaji Progresif dijangka akan bermula Jun 2024 dengan penyertaan 1,000 syarikat dan melibatkan pekerja dari pelbagai sektor yang bergaji kurang dari RM5,000 sebulan.

Kerajaan juga begitu komited dengan Perlindungan Keselamatan Sosial kepada Pekerja dan ia selaras dengan dengan perkembangan semasa terutamanya risiko seperti perubahan iklim, teknologi, pola ekonomi dan pasaran kerja.

Menerusi usaha ini, kebajikan rakyat akan dilindungi menerusi peningkatan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000 serta ia juga akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan tanggungan mereka.

Selain itu, hasrat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menentukan pematuhan perundangan oleh majikan dalam pengurusan pekerja asing juga diberi penekanan yang khusus.

Penetapan tiga kriteria utama iaitu saringan majikan dari segi pematuhan undang-undang perburuhan, kelulusan pekerja asing berpaksikan keperluan sebenar (genuine demand) daripada majikan berlandaskan kuota yang ditetapkan mengikut sektor dan keselamatan negara dari segi negara sumber dan individu yang dibawa masuk bagi tujuan penggajian amatlah penting dalam memastikan aspek pertumbuhan ekonomi, kelangsungan perniagaan serta keselamatan negara terjamin.

Kerajaan Negeri Sembilan begitu agresif menerusi Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan dengan mengadakan Ops Bersepadu bersama Agensi bagi memastikan pematuhan garis panduan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dalam menjaga kebajikan pekerja.

Dengan pelaksanaan kajian yang terperinci terhadap dasar-dasar yang sedia ada berkaitan tenaga kerja pasti akan memberi impak terhadap kebajikan pekerja.

Kerajaan menerusi pelbagai agensi berusaha sedaya upaya dalam memastikan hak serta perlindungan kaum pekerja terjaga serta terjamin.

Saya juga mempunyai harapan yang tinggi terhadap usaha ini yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir dalam mendepani dunia ekonomi yang semakain mencabar dengan ciri-ciri moden yang terkini.

Selamat Hari Pekerja Tahun 2024 kepada semua warga kerja.

YB Veerapan Superamaniam
EXCO Keusahawanan, Sumber Manusia,
Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan

 

Show More

Related Articles

Back to top button