Berita

Pastikan premis atau bangunan didiami selamat

NILAI: Peningkatan projek pembangunan memberikan kesan positif kepada ekonomi di Negeri Sembilan, namun Kerajaan Negeri juga tidak memandang enteng atau memandang remeh berkenaan keselamatan kebakaran lebih-lebih lagi kepada premis-premis yang berisiko tinggi.

Justeru itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menganjurkan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, seminar ini akan menjadikan pemilik premis menjadi seorang yang kompeten bagi memastikan premis di dalam keadaan yang selamat.

“Penguatkuasaan Akta 341 dan mana-mana peraturan yang diterima pakai, menentukan keperluan langkah-langkah keselamatan kebakaran dalam bangunan.

“Kerajaan juga mengkehendaki agar bangunan dan ruang awam menjalani pemeriksaan keselamatan kebakaran secara berkala untuk memastikan pematuhan dengan peraturan ini seterusnya mengurangkan nilai kerugian akibat kebakaran.

“Pelaksanaan peraturan dan standard keselamatan kebakaran oleh kerajaan juga telah memberikan sumbangan besar dalam meningkatkan keselamatan kebakaran di negara ini,” kata Aminuddin.

1,000 peserta hadir

Aminuddin berkata, seramai 1,000 peserta hadir di seminar ini dan ini menunjukkan kesedaran pihak premis bagi memastikan pemasangan keselamatan kebakaran, yang ada pada premis berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan sekiranya diperlukan.

“Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran adalah platform yang terbaik dalam memperkukuhkan pengetahuan dari aspek keselamatan kebakaran terutama orang yang bertanggungjawab bagi memastikan premis atau bangunan yang kita diami berada dalam keadaan selamat.

“Objektif seminar adalah bertujuan untuk memberi maklumat berkaitan penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran dibawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), Seksyen 27A kepada semua pemilik, penghuni atau orang yang mempunyai pengurusan sepenuhnya ke atas premis ditetapkan dan lain-lain pemain industri.

“Sekiranya, mana-mana pemilik, penghuni atau orang yang mempunyai pengurusan sepenuhnya ke atas premis ditetapkan tidak mematuhi seksyen tersebut, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-keduanya,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button