BeritaMenarik

Kilang pembuatan aluminium bernilai RM200 juta dibuka di Nilai

NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri  Utama Aminuddin Harun telah merasmikan kilang PMB Aluminium Sdn Bhd (PMBA) di Kawasan Perindustrian Nilai.

Aminuddin berkata, PMBA merupakan 100 peratus milik penuh pelabur tempatan dengan jumlah pelaburannya sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan oleh MIDA pada tahun 2023.

“Saya amat berbangga melihat kejayaan syarikat-syarikat tempatan yang melabur di Negeri Sembilan kerana ia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin meningkat berbanding sebelum ini.

“Tahniah kepada PMBA yang pastinya bakal membina kapasiti lokal dalam pengeluaran industri pembuatan aluminium yang menyokong pembangunan sektor teknologi hijau seperti kenderaan elektrik (EV) dan fotovoltan (PV) (satu teknologi berkaitan penukaran tenaga daripada cahaya matahari kepada tenaga eletrik).

“Sedia maklum bahawa aluminium merupakan material yang ringan, kuat dan dapat dikitar semula dengan mudah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, sebanyak 400 peluang pekerjaan bakal ditawarkan terutamanya dalam bidang kumpulan professional dan pekerja berkemahiran tinggi setelah kilang ini beroperasi sepenuhnya.

“Kilang ini akan mengkhususkan dalam pembuatan bingkai solar aluminium ekstrusi, komponen penting dalam usaha global menuju kepada tenaga boleh baharu.

“Kilang ini juga bukan sekadar menonjolkan pembuatan moden, tetapi juga menunjukkan komitmen kami terhadap kualiti, kecekapan dan alam sekitar.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan dasar yang terbuka dalam mengalu-alukan kemasukkan para pelabur baharu terutamanya pemain industri yang berteknologi tinggi,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin lagi, kedudukan Negeri Sembilan yang amat strategik iaitu terletak di ‘Central Region of Peninsular Malaysia’ menjadikan ia sebagai salah sebuah destinasi pilihan para pelabur.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa memastikan setiap urusan perniagaan dan aktiviti pelaburan di negeri ini berada pada tahap terbaik dengan menyediakan suasana persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button