BeritaMenarik

Kerajaan Negeri Sembilan cari jalan penyelesaian isu pinjaman rumah Generasi Kedua Felda

PERTANG: Kerajaan Negeri Sembilan dan Felda sedang mencari jalan penyelesaian berhubung isu pembelian projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGBF) Felda Pasoh Satu.

EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, Kerajaan Negeri memahami kesulitan dialami Generasi Kedua yang sebelum ini sudah membayar projek PGBF menerusi perjanjian sewa beli sejak 2018.

“Kerajaan Negeri dan Felda akan mengadakan perbincangan agar mereka diberi kemudahan pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Ada pembeli yang terikat dengan perjanjian sewa beli ini mempunyai rekod pembayaran kepada Felda yang baik, namun tidak layak membuat pinjaman dengan institusi kewangan atas pelbagai faktor seperti had umur.

“Kita akan cari jalan penyelesaian supaya mereka boleh membuat pinjaman bagi membolehkan mereka memiliki kediaman itu,” jelas Jalaluddin.

Sebelum ini dilaporkan, pembeli yang membeli rumah berkenaan melalui perjanjian sewa beli pada 2018 dan perlu membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan selepas lima tahun.

Masalah timbul apabila ada kalangan pembeli yang gagal membayar sewa bulanan kepada Felda.

Sebanyak 144 rumah PGBF dibina di Felda Pasoh Satu dan dijual dari RM90,000 berbanding harga asal RM160,000.

Show More

Related Articles

Back to top button