Lebih kurang pada tahun 2000, pihak pengurusan Danaharta telah mengarahkan hartanah tersebut dilelongkan untuk menebus hutang GATCO. Pada masa itu, Hak Mutlak kepada tanah GATCO ini terletak pada penerima Gadaian iaitu Bank Of Commerce kerana mengikut undang-undang ianya disebabkan syarikat GATCO telah digulungkan dan tidak dapat membayar hutang yang dipinjam oleh mereka.
Semasa ladang getah Gatco tersebut dilelongkan pada kali pertama pada tahun 2000, suatu jawatankuasa telah diwujudkan oleh para peneroka (J/Kuasa 1) yang diketuai oleh seorang individu dikenali Mariyaee. Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk membida di lelongan awam.
Saya percaya Jawatankuasa 1 ini diberikan nasihat guaman yang buruk (Bad legal advise) pada masa itu. Di mana antara cadangan yang diberikan kepada jawatankuasa ini adalah untuk melantik seorang kontraktor bagi menebang pokok getah di atas tanah ladang getah Gatco tersebut dan menjualnya dengan jumlah RM10 juta dan hasil ini kononnya akan digunakan untuk membeli tanah tersebut daripada lelongan awam dengan bakinya dikumpulkan daripada peneroka.
Persoalannya…..Bagaimana mungkin mereka boleh menjual pokok getah tersebut di mana hak mereka tidak wujud/masih tidak wujud dan belum wujud pada masa itu?
Lelongan awam pertama
Pada masa itu tidak ada nama di atas lot yang dikatakan 10 ekar, atas nama peserta dan geran tidak wujud. Maka, tidak ada kepentingan dari segi undang-undang pun. Mereka mungkin ada kepentingan benefisial pada masa itu tetapi belum dan tidak dibuktikan melalui Mahkamah pada masa itu.
Seterusnya, lelongan awam pertama melalui perintah Mahkamah telah diadakan pada tahun 2000 dan seterusnya lelongan awam berikutnya telah diadakan pada tahun 2001, 2002, 2003 dan selepas beberapa lelongan awam ke atas ladang Getah Gatco tersebut akhirnya ladang getah tersebut telah berjaya dilelongkan pada tahun 2004 dalam lelongan awam yang ke-enam. Selepas itu, sebuah lagi jawatankuasa yang ke-2 telah ditubuhkan oleh kumpulan yang kedua lebih kurang pada tahun 2010 untuk ke Mahkamah bagi menuntut hak mereka ke atas tanah ladang getah tersebut.
Kumpulan kedua ini diketuai oleh Encik John Cantius dan mereka juga telah membuat beberapa demontrasi untuk mendapatkan perhatian umum. Apakan daya….mereka melawan dalam ‘medan peperangan’ yang ditakdirkan kalah pada masa itu kerana tanah itu telah pun dilelongkan melalui perintah Mahkamah.
Kerajaan sebelum ini gagal guna peluang yang ada
Pada masa mereka menuntut hak mereka, pihak pembangkang pada masa itu (Pakatan Harapan) tidak mempunyai maklumat sahih, dokumen sahih, senarai peneroka Gatco yang telah disahkan oleh PKNNS.
Pihak Pembangkang pada masa itu bersama mereka supaya Kerajaan sebelum ini dapat selesaikan isu tanah ladang getah GATCO tersebut dengan sebaik mungkin seawal-awalnya sebelum ladang getah tersebut dilelongkan melalui perintah Mahkamah. Akan tetapi, Kerajaan sebelum ini telah gagal untuk menggunakan segala yang peluang yang ada pada masa itu sebelum tanah ladang getah dilelongkan. Tanah ladang Gatco tersebut dilelongkan oleh Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) yang merupakan sebuah GLC Kerajaan Persekutuan.
Seterusnya, Jawatankuasa 1 yang telah diwujudkan tersebut juga tidak dinasihatkan untuk melantik mana-mana yang mempunyai entiti yang sah dari segi undang-undang dan seterusnya membida untuk hartanah tersebut di lelongan awam. Saya percaya bahawa kumpulan kedua ini juga diberikan nasihat guaman yang buruk (Bad legal Advise).
Saya ingin tegaskan juga bahawa akhirnya kes yang difailkan oleh mereka telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Tuntutan peneroka Gatco ditolak mahkamah
Kes ini tidak mempunyai asas untuk difailkan di Mahkamah kerana Perintah lelongan awam tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya melainkan ada bukti-bukti kukuh. Lelongan awam tersebut dibuat melalui perintah Mahkamah. Malah, tindakan tersebut juga tidak menamakan Timbalan Pendaftar dan PKNNS sebagai satu pihak dalam tindakan tersebut.
Maka, atas dasar apa mereka ini dinasihati untuk memfailkan tindakan untuk mengenepikan Perintah Lelongan awam tersebut? Saya percaya peserta yang ke Mahkamah ini diberikan harapan palsu bahawa mereka mempunyai kes yang sah untuk mengenepikan Perintah Lelongan awam tersebut.
Maka, apabila tuntutan mereka ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, maka dengan itu sejumlah 140 orang yang ke Mahkamah tersebut telah secara efektifnya telah hilang hak mereka. Adakah Kerajaan Negeri perlu lagi menawarkan tanah tersebut kepada mereka? Sekiranya, ikut Perintah Mahkamah Persekutuan tersebut Kerajaan Negeri tidak perlu berbuat sedemikian atau memberi seinci tanah kepada mereka.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan adalah satu kerajaan yang prihatin maka atas dasar prihatin tersebut lah, telah mengambil langkah-langkah untuk mengumpul maklumat, mendapatkan dokumen, dan berbincang dengan pelbagai pihak dan setelah meneliti kesemua keterangan.
Pihak Kerajaan Negeri telah mengambil suatu keputusan yang adil dan saksama kepada semua pihak peserta di GATCO.
YB Veerapan Superamaniam
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan
ADUN Repah