Perbaharui cara fikir, gabung kaedah baharu tangani isu sosial

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang bertugas di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), diseru memperbaharui cara fikir, bertindak lebih cekap dan menggabungkan kaedah baharu bagi menangani isu sosial.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr.Noraini Ahmad berkata, bagi memperkukuh reformasi perkhidmatan awam, KPWKM menekankan pembangunan modal insan, organisasi dinamik, sinergi antara sektor awam dan swasta serta penyampaian perkhidmatan yang lebih inklusif.
“Dalam usaha ini, konsep coaching diperkenalkan sebagai kaedah bimbingan penjawat awam agar lebih cekap dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab,” ujar beliau.
Noraini berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bil. 2/2025 yang bertemakan Berkat Berjasa – Kebajikan Tanggungjawab Bersama yang diadakan di Dewan Nur, Bangunan KPWKM.
“Tema ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” kata Noraini.