BeritaProgram

Kerajaan Negeri galak budaya kecemerlangan pelajar

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang masyarakat khususnya para mahasiswa.

Antara usaha yang dilaksanakan adalah penganjuran Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran majlis seumpama ini diharap dapat menggalakkan para pelajar untuk terus berusaha dengan memberikan komitmen kepada pengajian dan budaya kecemerlangan yang berkualiti tinggi.

“Para pelajar harus mewujudkan persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung mempertingkatkan mutu pendidikan negara ke tahap global.

“Anugerah ini bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan dalam skop yang lebih luas lagi, ia menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif, dalam membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada 2,000 orang mahasiswa dalam golongan B40, melibatkan perbelanjaan berjumlah RM2.4 juta.

“Bantuan ini diumumkan apabila saya mendapati terdapat segelintir pelajar universiti yang terpaksa berlapar kerana kekurangan wang sara hidup di kampus.

“Semua bentuk bantuan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Sembilan terhadap usaha memastikan kecemerlangan anak-anak dapat diteruskan tanpa halangan akibat kekangan kewangan.

“Mahasiswa adalah tonggak kepimpinan masa hadapan, kerana mereka semua akan mencorakkan dan mewarisi pentadbiran akan datang,” kata Aminuddin.

Dalam majlis sama Aminuddin turut menyampaikan sumbangan komputer riba daripada Yayasan Negeri Sembilan (YNS) kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Seramai lima orang pelajar telah menerima sumbangan tersebut.

“Kerajaan Negeri melalui YNS sentiasa berusaha membantu mahasiswa dan para pelajar di seluruh negeri.

“Justeru, mereka yang memerlukan boleh memohon bantuan tersebut melalui pautan di bawah,” ujar Aminuddin.

http://bit.ly/BantuanKomputerRibaYNS

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button